Pengurus sebuah perniagaan besi menganggap janji-janji kerajaan untuk membantu usahawan muda hanyalah janji kosong kerana berdasarkan pengalamannya, dia tidak pernah mendapat bantuan sewajarnya walaupun berkali-kali mencuba.
Fadzili Hassan, 44, yang juga bekas pelajar Institut Teknologi Mara (ITM) telah 17 tahun menjalankan perniagaan besi berkata, usahawan Melayu yang baru meningkat merupakan usahawan yang paling sukar untuk mendapatkan bantuan kerajaan.
Katanya, ada agensi, kononnya bernaung di bawah kerajaan dan berfungsi untuk membantu usahawan Melayu pernah mengeluarkan syarat pemohon haruslah menjadi anak jati Pulau Pinang dan telah menjalankan perniagaan jika mahukan bantuan mesin.
“Saya telah mengusahakan kilang ini selama 17 tahun. Bukan empat tahun sepertimana yang sesetengah agensi nyatakan dalam borang permohonan mereka. Semua ini bohong kerana selama ini tidak ada sebarang bantuan yang saya dapat.
“Saya telah banyak kali memohon tetapi tidak ada satu pun yang membuahkan hasil. Saya pernah membuat pinjaman di sebuah bank tempatan dengan jumlah RM50,000, tetapi mereka luluskan hanya RM4,000.
“Nak buat apa dengan jumlah itu. Saya pernah memohon “overdraf” dari bank. Mereka memaklumkan kepada saya bahawa pembayaran lori saya tertunggak sebulan maka pinjaman itu ditolak. Kalau saya tidak ada masalah, tidak payahlah saya bersusah payah untuk membuat pinjaman. Kerajaan nak bantu usahawan tetapi terlalu banyak karenah,” katanya.
Beliau mendakwa hasrat kerajaan untuk menghapuskan ‘ah long’ tidak akan tercapai sekiranya agensi-agensi yang terlibat dalam mengagihkan bantuan kewangan ini hanya membantu sebelah pihak.
“Pinjaman Mikro contohnya, mereka mahukan pemohon yang mempunyai rekod pembayaran 200 peratus, iaitu yang terbaik. Kalau kereta tidak bayar sebulan pun tidak boleh. Apa semua ini. Kerajaan melaungkan slogan kata rakyat jadi keutamaan. Tetapi sebaliknya apa yang berlaku?
“Saya tidak nafikan bahawa kebanyakan usahawan membuat pinjaman dengan ah long kerana mereka terpaksa. Mereka mahu mengembangkan perniagaan mereka tetapi modal tidak mencukupi maka ah long adalah jalan terakhir.
“Kalau setakat nak cakap “kami membantu anda” semua orang boleh cakap, tapi tanyalah mana-mana usahawan Bumiputera yang sudah mulakan perniagaan, siapa yang bantu mereka? ah long atau agensi?
“Baru-baru ini kerajaan telah meluluskan Bajet Mini, tetapi ia tidak sedikit pun membantu kami. Kerana itu rakyat mula menyokong Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka mahukan nasib mereka berubah,” katanya.
Menurutnya, agensi yang terlibat dalam memberikan dana untuk membantu usahawan Bumiputera harus meneliti semula permasalahan yang diluahkan oleh usahawan-usahawan ini. Mereka telah berjaya tetapi memerlukan suntikan modal yang lebih untuk memperkembangkan perniagaan mereka.
Katanya, sikap pilih kasih tidak seharusnya berlaku dan kerajaan harus tegas melihat permasalahan ini. Usahawan Bumiputera boleh maju sekiranya ada pihak bersikap prihatin terhadap usaha gigih mereka.
“Saya minta pemimpin bantu kami dan turun padang kerana kami juga boleh berjaya sekiranya dana yang disalurkan diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
SUMBER: Sinar Harian (Utara) - Kerajaan perlu jujur bantu usahawan
3 komen:
Benar kata Fadzli Hasan dan bukan omongan atau tohmahan tetapi KENYATAAN!
Saya pun bertahun kena buli macam tu jugak dengan agensi-agensi yang kononnya berjuang membantu kita. Kadang-kadang pegawai yang telribat punya berlagak macam dia yang dok bagi rezeki kat manusia dan lupa diri dia cuma menjalankan amanah rakyat dan duit itu bukan dia punya pun....tolong agihkan secara adil saja....tapi berlagak EK kalahkan beruk dapat bunga
sama la kita... belum pernah dengar sepanjang 6+ tahun saya berniaga di Malaysia, ada usahawan dpt bantuan pinjaman sebab dia Bumiputera... lagi payah nak dapat ada la... byk alasan itu ini tak betul tiap2 kali hantar ke mana-mana agensi bawah MeCD yang dah terkubur tu. harap, lebih baik di bawah kementerian-kementerian baru...
bak kata Pak Razak " meniaga orang kagi untung WOW!!!".. tak payah minta loan atau geran...
hahahaha apa kementerian pun takyah involve
Post a Comment